Peranan kurikulum tidak formal ke arah mencapai matlamat pendidikan Malaysia


 D) Peranan kurikulum tidak formal ke arah mencapai matlamat pendidikan Malaysia.

Kurikulum tidak formal merupakan sistem pendidikan yang tidak dikendalikan atau ditaja oleh negara. Tiada sebarang pensijilan akan diberikan dan tidak mempunyai sebarang struktur atau kelas. Ianya bertujuan untuk memperoleh keahlian pada masa tersebut dan dapat digunakan pada masa itu juga. Kebiasaannya, sistem pendidikan ini tertumpu kepada golongan tertentu dengan matlamat dan objektif tertentu. Misalnya kursus kepimpinan pengawas, kursus pustakawan sekolah, dan bengkel teknik pelajar Tingkatan 5. Kebiasaannya juga, sistem pendidikan ini melibatkan interaksi sosial-psikologi yang melibatkan perasaan, sikap dan tingkah laku. Berdasarkan matlamat pendidikan negara iaitu Falsafah Pendidikan Malaysia, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Kurikulum tidak formal juga memainkan peranan yang penting dalam mencapai matlamat pendidikan di Malaysia.

            Kurikulum tidak formal memainkan peranan dalam melahirkan individu yang berilmu pengetahuan. Seperti yang dijelaskan tadi kurikulum tidak formal merupakan sistem pendidikan yang diluar daripada sistem pendidikan utama. Oleh hal yang demikian, hal ini secara tidak langsung telah melipatkali gandakan ilmu yang diperolehi oleh seseorang individu, dalam konteks ini individu tersebut ialah seorang pelajar. Sebagai contoh, seorang pelajar telah menyertai Bengkel Kecemerlangan SPM. Walaupun dalam sistem pendidikan formal telah menyediakan silibus-silibus yang lengkap mengenai sesuatu subjek. Pelajar ini telah mengambil inisiatif untuk menyertai seminar luar yang bukan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini telah menambahkan lagi pengetahuan pelajar tersebut mengenai sesuatu subjek dengan menyertai seminar tersebut.

            Selain itu, kurikulum tidak formal juga memainkan peranan dalam melahirkan individu yang berakhlak mulia. Sesiapa sahaja boleh menjadi guru yang mendidik seseorang untuk berakhlak mulia. Kebiasaannya, ibu bapalah yang menjadi agen dalam menyampaikan didikan moral dan etika kepada anak-anak kerana mereka merupakan individu yang terdekat dengan anak-anak. Aspek pendidikan tidak formal dalam melahirkan individu yang berakhlak mulia merangkumi didikan agama dan nasihat. Sebagai contoh, ibu bapa telah mendedahkan anak-anak mereka kepada agama sejak mereka kecil lagi. Melalui pendedahan agama, anak-anak telah dibentuk untuk sentiasa berbuat baik dan mengekalkan akhlak yang mulia.

            Tambahan pula, pendidikan tidak formal memainkan peranan dalam melahirkan masyarakat yang harmoni. Seperti yang kita sedia maklum negara kita terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan bangsa. Hal Ini menyebabkan keharmonian masyarakat dalam negara kita amat penting dalam mengekalkan kemakmuran negara. Masyarakat di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam menjalankan pendidikan tidak formal bagi melahirkan masyarakat yang harmoni. Masyarakat yang lebih dewasa haruslah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat yang lebih muda. Sebagai contoh ibu bapa yang menjaga hubungan yang baik dengan jiran akan melahirkan anak-anak yang lebih mesra dan  mudah bergaul dengan orang lain. Kesannya, anak-anak akan menjadi masyarakat yang dapat hidup dengan harmoni.

            Kesimpulannya, pelaksanaan kurikulum mempunyai pengaruh dan peranan yang besar dalam mencapai matlamat pendidikan negara. Justeru, dalam melaksanakan kurikukulum tidak formal ini para guru seharusnya menitikberatkan manfaat-manfaat kurikulum tidak formal kepada para pelajar. Dengan ini, para pelajar akan menyedari bawa betapa pentingnya setiap perkara yang telah mereka lakukan semasa di sekolah. Ini akan menaikkan lagi semangat mereka untuk terus belajar kerana mereka mengetahui betapa besarnya impak and kebaikan yang akan mereka bawa.

Comments

Popular posts from this blog

Matlamat Pendidikan dan Perubahan Kurikulum dalam Perkembangan Pendidikan di Malaysia

Analisis Perubahan Sistem Pendidikan untuk Mencapai Hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan